
Bayangkan satu rutin yang anda ulang setiap minggu seperti muat naik siri video ke YouTube. Setiap kali, anda salin tajuk dan keterangan dari spreadsheet, cari fail thumbnail yang sepadan, muat naik sarikata, dan pastikan tetapan video diletak “Private”. Ia kerja mekanikal — membosankan, makan masa, dan mudah tersilap bila anda buat berulang kali dalam keadaan penat.
Sebelum ini, untuk automasi tugasan berbilang langkah macam ni, anda kena tulis prompt yang panjang berjela — terangkan setiap butiran kecil kepada AI dalam bentuk teks. Sekarang ni tengah berlaku satu perubahan yang menarik. OpenAI baru memperkenalkan ciri Codex Record & Replay: anda tunjuk kerja itu sekali, AI perhati, dan ia belajar untuk membuatnya sendiri lain kali. Dalam post ini saya kupas apa sebenarnya ciri ini, apa maknanya untuk SME Malaysia, dan satu nota jujur sebelum anda terlalu teruja untuk mencuba.
OpenAI Codex Record & Replay: tunjuk sekali, bukan taip prompt panjang
Asas ciri ni ialah peralihan dari menulis arahan yang meleret kepada demonstrasi supaya AI faham tugas itu. Anda tak perlu lagi merangka strategi prompt engineering yang sempurna untuk setiap langkah. Sebaliknya, anda mula fungsi rakaman, dan biarkan Codex “memerhati” setiap tindakan anda semasa anda berinteraksi dengan spreadsheet dan YouTube Studio.
Jadi peralihannya begini: dari “pengaturcaraan bahasa asli” (taip arahan) kepada pembelajaran melalui tunjuk ajar. Codex bukan sekadar merakam skrin — ia menganalisis bagaimana anda memilih data dan di mana anda menekan butang, untuk memahami logik di sebalik tindakan anda. Konsep ni sebenarnya sama dengan kaedah “rakam-proses” yang saya kupas sebagai cara mengajar mana-mana AI; cuma sekarang OpenAI dah bina ia terus ke dalam produk.
Dari rakaman ke “skill” — bukan sekadar macro biasa
Keajaiban sebenar berlaku selepas rakaman tamat. Codex tidak sekadar menyimpan fail video statik. Ia meninjau semula rakaman itu dan menukarkannya menjadi satu skill yang boleh diguna semula dan diedit.
Di sinilah bezanya dengan tool macro lama yang cuma ulang klik dan taip secara buta. Skill yang dihasilkan Codex cuba memahami aliran kerja itu sendiri — ia mengingati butiran kritikal seperti:
- Lokasi metadata — di mana tajuk dan keterangan disimpan dalam spreadsheet anda.
- Susunan fail — bagaimana fail video dan thumbnail diorganisasi dalam sistem anda.
- Langkah verifikasi — cara anda tambah sarikata dan semak setiap muat naik disimpan dengan betul.
Kerana ia memahami konteks, skill itu boleh menyesuaikan diri bila input berubah, mengingati pilihan anda, dan menjalankan semakan sendiri sama ada tugasan berjaya atau tidak. Bila anda nak jalankan kerja yang sama lain kali, anda cuma lampirkan pakej video baharu dan minta Codex uruskannya.
Apakah relevannya untuk SME dan satu disclaiemer
Nilai sebenar untuk bisnes kecil bukan pada YouTube semata-mata. Ia juga ada pada mana-mana kerja pejabat berulang yang membebankan seperti susun jemputan kalendar dengan tetapan tetap, padankan dan pindah data antara dokumen, format laporan mingguan. Sistem ini bantu meringankan halangan teknikal: pekerja bukan-teknikal tak perlu lagi “terangkan setiap langkah dalam bentuk teks” untuk automasikan sesuatu. AI boleh tengok cara mereka bekerja dan lakukan tugasan yang sama berulang-ulang.
Tapi inilah dua perkara jujur yang anda perlu tahu dulu:
Ini ciri baru dan awal. Demo OpenAI dijalankan pada desktop (Mac). Sebelum anda bergantung padanya untuk operasi harian, sahkan dulu ia tersedia pada peranti dan plan anda, dan uji pada tugasan berisiko-rendah dulu. Automasi yang menyentuh data pelanggan perlu dikawal ketat di bawah tanggungjawab PDPA anda.
Ini OpenAI, bukan Claude. Saya tulis banyak tentang Claude di sini kerana itu yang saya guna untuk Cakna AI, dan Claude sendiri ada sistem Skills yang konsepnya serupa seperti arahan boleh-guna-semula yang AI muatkan bila relevan. Jadi kalau anda dah dalam ekosistem Claude, anda tak “ketinggalan”. Anda cuma capai idea yang sama melalui pintu yang berbeza. Saya dah kupas cara Skills berfungsi dalam panduan lengkap Claude Cowork untuk SME.
Soalan lazim
Saya perlu tahu kod untuk guna ciri ini?
Tidak. Itu memang inti ciri ni — anda tunjuk kerja itu sekali secara visual, bukan tulis skrip. Tapi jangan salah faham “tanpa kod” sebagai “tanpa fikir”: anda masih perlu tahu proses anda sendiri dengan jelas supaya AI belajar yang betul.
Ia betul-betul boleh gantikan saya sepenuhnya?
Untuk satu tugasan berulang yang jelas, ia boleh ambil alih sebahagian besar kerja. Tapi untuk kerja yang berubah-ubah setiap kali atau perlu pertimbangan, anda masih di kerusi pemandu. Anggap ia pekerja yang anda latih, bukan pengganti automatik.
Saya guna Claude, patutkah saya tukar ke OpenAI sebab ciri ni?
Tak semestinya. Claude ada Skills dan memori yang capai matlamat serupa. Pilih ikut ekosistem yang anda dah selesa, bukan ikut satu ciri viral.
Langkah pertama anda minggu ini
Kalau anda nak cuba idea ni — sama ada melalui Codex atau Skills Claude — mula dengan satu tugasan yang paling kerap anda ulang dan paling membosankan. Rakam atau tunjukkan proses itu sekali dengan teliti. Uji hasilnya pada kerja berisiko-rendah dulu sebelum percaya sepenuhnya. Automasi yang kekal dibina satu proses pada satu masa, bukan dengan cuba serah semua kepada AI dalam satu hari.
📘 Baru: Ebook percuma 50 muka surat — semua asas dalam post ini (dan banyak lagi) disusun langkah demi langkah dalam AI untuk Bisnes Kecil: Dari Sifar Hingga Sistem. 16 bab, 19 template prompt, pelan 30 hari. Muat turun percuma →
Nak tahu markah SEO website anda — sebelum pelanggan (atau ChatGPT) tak jumpa anda?
Website cantik tak bermakna apa-apa kalau ia tak muncul dalam carian. Saya buat scan SEO percuma untuk website SME Malaysia: hantar URL + email, dan dalam 48 jam anda dapat 2 laporan PDF — skor SEO penuh /100 merentas 7 kategori, plus pelan tindakan konkrit (bukan teori). Termasuk semakan GEO: muncul ke website anda bila orang tanya ChatGPT? Nilai biasa RM 497 — untuk anda percuma, tiada pitch jualan.
Atau kalau anda lebih suka berbual dulu: saya ada 30-min discovery call percuma untuk kupas di mana AI boleh tolong bisnes anda. Tempah slot →